Sunday, June 16, 2013

Coretan Hamba ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim






"Berjuang itu memang susah kerana syurga itu manis"


Aku menulis bukan untuk memberitahu aku baik tetapi aku menulis untuk memberitahu diri supaya menjadi baik. Aku bersuara bukan untuk menunjuk pandai tetapi aku bersuara untuk menegakkan kebenaran. Aku bukan sempurna, aku juga masih teraba-raba mencari hidayah ALLAH.

Dalam perjuangan pasti ada cabaran. Sedangkan laut pun bergelora, inikan pula kita manusia. Tidak kira apa cabaran pun. Tetapi bagaimana cara kita melihat cabaran itu dan bagaimana kita menanganinya dan cabaran ini berkait rapat dengan soal hati. Sakit hati, makan hati, berjauh hati semuanya memberi kesan negatif dan hanya akan melemahkan tubuh badan.

Hati yang tenang hanya dengan mengingati ALLAH......zikir, munajat, membaca dan memahami petunjuk kitab suci Al-Quranul Karim, berbuat baik kepada insan lain, membahagiakan orang lain akan memberi impak yang besar dalam mencari kebahagiaan. Kebahagiaan yang diredhai ALLAH.

Kadang-kadang kita merasakan hidup ini  terlalu kosong walaupun dikelilingi ramai insan. Itulah petanda hati ingin kembali kepada fitrah. Cuba renung kembali bayi itu fitrahnya bersih, suci tanpa dosa.....kita lahir dengan keadaan bersih dari segala kekotoran tetapi bila semakin besar, makin banyak titik-titik hitam dalam hati sehingga akhirnya ia menjadi gelap zulumat. Karat-karat hati ini perlu dibersihkan kembali. Kadang-kadang kita tidak sedar, dosa kecil tetapi jika selalu dibuat akan menjadi besar. Hati yang dahulunya putih bersih penuh dengan keladak. Maka ayuhlah sahabatku yang disayangi kerana ALLAH.....mari kita berjuang.....dunia ini hanya persinggahan....tidak mengapa dirimu ditinggalkan kerana ALLAH ada yang lebih baik untukmu. 

Bersusah dahulu bersenang kemudian, memang berkali-kali kita akan tersungkur tapi percayalah itulah tarbiyyah dari ALLAH. Melalui proses itu, hati kita akan hidup kerana sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH. Bersihkan hati, sentiasa bersangka baik dengan ALLAH dan insan. Memang susah untuk bermujahadah tetapi percayalah satu saat nanti kamu akan tersenyum dengan janji-janji ALLAH buat mereka yang beriman dan beramal soleh. 


Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seseorang tidak beriman hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri - Nabi Muhammad SAW


"Jika kita inginkan kebahagiaan, berikan kebahagiaan itu kepada orang lain"






No comments:

Post a Comment