Thursday, May 2, 2013

Monolog (Lihatlah ke depan......yang lalu biar berlalu)

Bismillahirrahmanirrahim


Sehingga saat ini, satu persatu kenangan 'itu' menerjah fikiran ini. Namun anehnya hari ini bila kenangan itu datang, hati ini sudah tidak merasakan apa-apa.....Alhamdulillah. Sungguh luar biasa kurasakan, namun semua itu tidak mustahil dengan izin ALLAH S.W.T Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. DIA memberi dan DIA jugalah yang mengambil semula. Semua yang ada bukan milik kita, hanya pinjaman. Dulu kuakui setiap kali kenangan itu datang, hati ini merasa sakit....sakit dan pedih dengan apa yang berlaku malah ianya sering menghantui fikiranku sehingga sukar untuk aku fokus pada kerja dan kehidupan peribadi. Sungguh aku telah melalui satu episod duka yang tidak pernah kuminta. Namun semuanya ujian ALLAH untuk melihat bagaimana aku melalui ujian itu. Dalam masalah ini, aku meletakkan seratus peratus kesalahan pada diri sendiri. Tidak perlu menuding jari kepada orang lain, biar apa orang sekeliling mengata, biar apa pun yang mereka buat padaku, biar apa pun mereka menyakiti aku......aku halalkan dan aku maafkan mereka kerana aku sedar mereka juga hamba ALLAH yang punya kelemahan. Cukup sampai di sini sahaja kisah itu kerana hari ini aku telah buka lembaran baru dalam hidupku.

Benarlah doa itu senjata mukmin. Mintalah pada ALLAH, mengadulah pada-NYA kerana itu sumber kekuatan kita. Tapi ingatlah syaitan akan terus berusaha menyesatkan kaum Adam....semakin kita cuba berubah pada kebaikan semakin kuat godaan syaitan. Sebab itu kita kena sentiasa minta pada ALLAH supaya ditetapkan iman kita. 

Hari demi hari selepas peristiwa itu, aku merenung kembali sejarah hidup yang penuh dengan dosa. Betapa selama ini aku jauh dari-NYA. Hanya bila susah aku ingat pada-NYA. Perlahan-lahan aku bertatih, aku mahu mencintai Penciptaku sepenuh hatiku, aku mahu mencintai Rasulullah S.A.W dengan sebenar-benar cinta, aku mahu membahagiakan ibu ayahku, aku mahu menjadi contoh pada adik-adikku dan aku mahu menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat......itu matlamatku sekarang! Keperitan itu mengajarku erti sebuah perjuangan dan kebangkitan.

" LIHATLAH KE DEPAN.......YANG LALU BIAR BERLALU"