Saturday, July 27, 2013

Bila Waktu Telah Berakhir

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dah masuk hari ke-19 kita berpuasa di bulan Ramadan 1434H. Semoga amalan kita diterima ALLAH.....Amin Ya Rabbalalamin.

Lama saya tak menulis, bukan kekeringan idea namun ada beberapa faktor yang menyebabkan saya break sekejap. Mengejar waktu yang tinggal lebih kurang dua minggu lagi untuk menyiapkan kesemua tugas-tugas yang ada sebelum saya bercuti panjang selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Perancangan harus dibuat dengan teliti dan rapi supaya sampai saatnya nanti semua diharap berjalan dengan tenang.....In Shaa ALLAH. Bukan mudah untuk menggalas pelbagai tanggungjawab dalam masa yang sama. Persediaan mental dan fizikal sangatlah penting. Semoga ALLAH permudahkan.....Amin Ya Rabbalalamin.

Back to the topic, hari ini saya terpanggil untuk membicarakan sesuatu sebagai peringatan kepada diri sendiri yang mudah alpa dan lalai, juga buat semua pembaca yang dirahmati ALLAH. Berbicara soal hidup dan mati ini sudah sering kita dengar, tetapi sejauh mana kita membawa peringatan itu dalam kehidupan seharian kita. Masa yang ada 24 jam sehari itu adakah betul-betul kita manfaatkan? Ya ALLAH, jika dihitung kembali sepanjang usia ini, hampir 30 tahun dipinjamkan nyawa oleh ALLAH di dunia ini.....rasanya tidak ada sedikit pun waktu yang benar-benar terisi dengan kebaikan, rasa macam Ya ALLAH.....betapa sia-sia usia aku selama ini. Betapa aku benar-benar alpa bahawa kehidupan di dunia hanya sementara sahaja......sementara.

Bila melihat jenazah dikebumikan, rasa insaf datang tapi hanya sekejap sahaja, mudah benar manusia lupa. Mencari jalan pulang......itu yang sebaiknya. Dugaan yang ALLAH beri itu sebenarnya berisi hikmah tersendiri jika kita orang yang berfikir menggunakan akal dan hati. Tak dinafikan pancaroba dunia hari ini menyumbang pelbagai budaya negatif yang menyimpang jauh dari agama.....kesucian agama dipermain-mainkan sewenangnya....Astaghfirullahalazim.

Saya sendiri pernah diuji, kadang-kadang hampir rebah, menangisi nasib, kenapa aku begini, kenapa begitu......pernah hilang semangat, pernah melalui episod duka tetapi sebenarnya pada masa itu, ALLAH sedang menurunkan rahmat-Nya......di kala kita dilanda kesedihan dan kelukaan, ALLAH bagi petunjuk dan kesedaran supaya kita kembali kepada-Nya. Selama ini kita hidup dengan bergelumang dosa, ALLAH Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menarik kita kembali ke jalan yang benar, bukankah ini bukti ALLAH sayangkan kita? DIA tidak mahu melihat kita terus tersasar.....Subhanallah.




NIKMAT..............jika mahu menghitung nikmat yang ALLAH bagi, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Hari demi hari berlalu, usia terus meningkat, ajal semakin mendekat, aku tidak mahu nyawa diambil taktala diri sedang berdosa. Bila-bila masa ajal akan menjemput. Bila waktu telah berakhir.......penyesalan sudah tidak berguna. Bila hidayah datang menerpa.....jangan sesekali sia-siakan.



Ya ALLAH........tetapkanlah kami dalam iman, matikanlah kami dalam iman. Tunjukilah kami jalan yang lurus....Amin Ya Rabbalalamin.

No comments:

Post a Comment